Friday, February 1, 2013

CABARAN PENGACARA MAJLIS

Melaksanakan tugas sebagai pengacara majlis bukan sukar kepada mereka berpengalaman. Alah bisa tegal biasa.

Di ruang ini, saya ingin berkongsi antara peristiwa istimewa ditempuh di sepanjang kerjaya saya mengacarakan pelbagai majlis di seluruh pelusuk tanahair.

"Terima kasih kerana sudi datang," ujar rakan berstatus 'datuk'.

Saya diundang untuk menjadi tetamu VIP di majlis persandingan adik beliau diadakan di private house terletak di Kuala Lumpur. Memang saya berhajat untuk tiba awal, bertujuan  meluangkan masa, berbual bersama rakan saya kenali sewaktu menuntut di institusi pengajian tinggi.

Majoriti tetamu termasuk timbalan menteri kabinet telah mengambil tempat dan jam tangan saya menunjukkan pukul 8.10 malam. Tiba-tiba rakan terbabit kelihatan gelisah bak mencari seseorang.

"Nampaknya emcee saya tidak datang. Bolehkah bro menjadi emcee?," soal beliau.

Emcee, pengacara majlis dimaksudkan itu, seorang pekerja syarikat televisyen berbayar dan dikenali kerana mengendalikan program bual bicara agak terkenal.

"Jika tidak tersilap, saya melihat dia (pengacara) bersiaran secara langsung dari Sabah petang tadi," ujar saya.

Datuk terbabit mendiamkan diri.

"Bolehkah bro menjadi emcee? Saya cuba menelefon dia tetapi tidak boleh dihubungi," ujar  rakan itu lagi.

Majlis meraikan pasangan pengantin dijadualkan bakal berlangsung kira-kira 20 minit sahaja lagi. Waktu itu tiada tetamu mengetahui emcee majlis gagal menghadirkan diri. 

"Tiada masalah," balas saya yakin.

Pantas saya meminta sehelai kertas bersaiz A4 lalu mencatatkan senarai nama VIP untuk dibacakan sewaktu membuka bicara sebagai tanda hormat. Dalam tempoh singkat itu, saya juga mencatatkan senarai nama semua ahli keluarga terdekat bakal menyempurnakan acara restu pengantin. 

Sebelum ini, lazimnya pengantin ditepung tawar dalam acara merenjis tetapi kini aktiviti itu telah mula dikesampingkan. Ahli keluarga, seperti ibu dan ayah mempelai hanya naik ke pelamin untuk bersalaman dengan pasangan pengantin, mengabadikan gambar dan kemudian turun dari pelamin. 

Kurang 5 minit, sebaik senarai terbabit lengkap, saya kemudian dihampiri lelaki bergelar ustaz.

"InsyaAllah, saya akan membacakan selawat. Encik Mazidul emcee malam ini ke?," soal lelaki bersongkok dan berbaju Melayu itu.

"Ya," ujar saya.

"Boleh tahu,  bilakah saya akan mula berselawat?," tanya beliau lagi.

Sewaktu ustaz terbabit tercegat menunggu jawaban, pantas saya menggamit lelaki muda menjadi pengurus acara majlis terbabit.

"Ustaz ini akan membacakan selawat, nanti boleh tolong que saya kalau pengantin sudah bersedia untuk melangkah masuk ke dewan dan berjalan menuju ke pelamin?," pinta saya.

Lelaki itu mengangguk.

"Ustaz jangan bimbang, nanti apabila majlis akan bermula, InsyaAllah saya akan bagi isyarat  dan ustaz datang berdiri di sebelah saya berhampiran rostrum. Sebaik saya mengumumkan ketibaan pasangan pengantin, ustaz boleh mula berselawat," jelas saya.

Beliau kelihatan berpuas hati.

Tepat pada jam 8.29 malam, saya bergerak ke rostrum di pentas utama dan berdiri di hadapan semua tetamu. Di sebelah saya, kumpulan pemuzik bakal membuat persembahan telah bersedia. Apapun, saya percaya mereka tidak tahu, saya hanya mengambil alih tugas emcee gagal muncul pada malam itu.

"Relaks Mazidul, awak telah lama menjadi pengacara majlis secara langsung. Ini hanya satu lagi daripada kejadian menarik tanpa diduga. Awak melakukakannya untuk membantu rakan agar majlis ini berjalan lancar. Semua tetamu tidak perlu tahu, apa sedang terjadi. Mereka semua menerima awak sebagai pengacara majlis biarpun tanpa dibayar," bisik hati saya kepada diri sendiri.

Alhamdulillah, biarpun tanpa skrip dan hanya berbekalkan sehelai kertas di tangan, majlis berlangsung secara teratur.  Selepas selawat dilaungkan, saya menyampaikan ucapan alu-aluan, mewakili keluarga pengantin, merakamkan ucapan terima kasih kepada semua tetamu menghadirkan diri. Restu pengantin kemudian menyusul, 10 tetamu VIP dan ahli keluarga terdekat menyempurnakan acara terbabit termasuk timbalan menteri wanita sambil diiringi kumpulan pemuzik.  Saya sempat mendekati dan mendapatkan maklumat mengenai kumpulan terbabit sekaligus memperkenalkan mereka kepada semua.

Selepas pengantin makan malam dan memotong kek, majlis hampir berakhir. Saya kemudian mempersilakan pasangan pengantin bergerak ke pintu utama untuk mengucapkan selamat jalan dan terima kasih kepada semua tetamu. 

Adakah saya berdebar sewaktu melaksanakan tugas terbabit biarpun sekadar bidan terjun?

Tidak kerana ketenangan menjadi pendamping saya. 

Sewaktu mengendalikan majlis makan malam sebuah syarikat korporat di hotel terkemuka, saya mengumumkan ...

"Baiklah, saudara dan saudari sekelian, bersama kita saksikan the food presentation, dipersembahkan oleh kakitangan hotel ....."

Satu, dua, tiga, empat, lima ...

Tiada kakitangan banquet  hotel muncul dari ruang dapur hotel biarpun muzik telah mula dimainkan ...  semua tetamu menunggu ...

"Tolong berhentikan muzik buat seketika, kita akan melakukan lintas langsung ke dapur hotel ini untuk menyingkap kejadian sebenar," celah saya.

Tetamu tertawa. 

Pantas saya mengambil cordless microfon dan bergerak tanpa diduga menuju ke pintu dapur hotel.

"Baiklah, kini saya berada di dapur dan dapat menyaksikan betapa tersusunnya pergerakan mereka bakal muncul di hadapan anda semua, sebentar sahaja lagi," kata saya.

... walhal hakikatnya, sekumpulan kakitangan terbabit dalam acara food presentation  itu baru sahaja kelihatan bersedia akibat koordinator majlis dilantik tidak peka. Biarpun makanan sudah tersedia, dia gagal mengarahkan pekerja banquet bergerak keluar tepat pada waktunya. 


Di ruang dapur itu, dalam waktu terhad, saya sempat mengajukan soalan kepada chef mengenai juadah istimewa bakal disajikan kepada semua tetamu. 


Setelah isyarat diberikan, mereka bersedia melangkah dalam satu barisan.

"Music please! Baiklah, sidang hadirin sekalian ...  persembahan hebat ini khusus dirangkakan untuk semua tetamu sabar menunggu ... the food presentation dari kakitangan hotel, dipersilakan," ujar saya sambil berjalan keluar dari dapur.

Tepukan gemuruh menyambut kenyataan itu.

Hakikatnya, ramai antara kita berminat menjadi pengacara majlis namun tidak semua berkemahiran lalu hajat itu tidak kesampaian.

Apapun,  ketahuilah, kemahiran boleh dipelajari dan diasah.

Lazimnya, pengacara majlis dibayar lumayan hanya untuk tugasan waktu singkat. Sebilangan mereka diupah di antara RM5,000 dan RM10,000 dalam tempoh kira-kira 2 jam, bergantung kepada pengalaman diraih di pentas pengucapan awam. Justeru tugas pengacaraan mampu dijadikan sumber rezeki oleh mereka komited menjalankan tugas.

9 Januari lalu, saya diberikan penghormatan menjadi pengacara majlis resepsi perkahwinan Zakiah Anas dan suami di Kuala Lumpur.


Ramai tetamu VIP dan artis tempatan hadir menyerikan majlis itu. 

Biarpun Zakiah kenalan rapat, saya tetap datang lebih awal untuk meninjau persiapan,  lokasi dan mencuba peralatan audio disediakan. Pada masa sama, saya berpeluang mendapatkan informasi mengenai pemuzik membuat persembahan di malam bersejarah terbabit.


Syukur, majlis terbabit berjalan lancar,  gilang gemilang.

Apakah antara kemahiran perlu dikuasai untuk menjadi pengacara majlis? Protokol perlu dipatuhi? Bagaimanakah untuk menjadi pengacara majlis berjiwa tenang dan versatile? Apakah perlu dilakukan sekiranya berhadapan pelbagai cabaran tidak dijangka sewaktu majlis berlangsung? 

Kepada pembaca berminat untuk mengetahui jawaban kepada soalan itu sekaligus  berhasrat meraih ilmu dalam bidang pengacaraan pelbagai majlis, sila hubungi Ketua Pegawai Eksekutif CakapDotCom, Haji Azmil Abdul Aziz di talian 013 63 666 73.

Sesi latihan santai terbuka untuk semua tetapi dalam jumlah terhad, maksimum 25 peserta  sahaja.

'MENANGANI GEMURUH,  MENGGAPAI KEYAKINAN DI PENTAS PENGUCAPAN AWAM'

3 comments: